Kisah Biskut
Seorang wanita di lapangan terbang sedang menunggu waktu penerbangannya. Sambil menunggu, dia makan biskut yang dibelinya sebelum itu dan membaca buku cerita. Sedang dia makan dia terperasan yang perempuan tua disebelahnya turut mengambil biskut dari bungkusan yang sama yang terletak di sebelahnya.
Setiap keping biskut yang dia ambil perempuan tua itu turut mengambil sama. Di dalam hati wanita itu menyumpah-nyumpah perempuan tua itu.
"Alangkah tak malunya perempuan tua ni..... dah la tak mintak dari aku.... makan sama banyak dengan aku pulak tu...Pencuri!! " rungut wanita itu dalam hati.
Dalam pada itu, perempuan tua itu dengan muka yang tenang terus dengan perbuatannya. Hinggalah sampai ke biskut terakhir yang terdapat dalam bungkusan itu. Wanita itu menunggu reaksi dari perempuan tua itu. Sambil tersenyum perempuan tua itu mengambil biskut yang terakhir itu lalu dipatah dua lantas memberikan separuh darinya kepada wanita itu. Wanita itu menjadi begitu marah namun dia tetap menahan dirinya dari memarahi perempuan tua itu.
Sambil merampas dengan kasar biskut yang separuh itu dan menunjukkan mukanya yang masam mencuka, wanita itu berkata dalam hatinya. "Berani sungguh perempuan tua ni. Memang muka tak malu. Pencuri besar." kata hatinya dengan marah. Kedua-dua wanita dan perempuan tua itu terus duduk sehingga panggilan untuk menaiki pesawat untuk wanita itu sampai. Sambil menarik nafas lega seolah baru lepas dari satu kejadian ngeri wanita itu bergerak menaiki pesawatnya.
Apabila dia sampai di tempat duduknya beliau membuka beg kecilnya untuk mengambil barang.
Alangkah terkejutnya dia apabila melihat satu bungkusan biskut berada di dalam begnya dan ia masih elok belum terbuka. "Jika biskut ini ada dalam beg aku jadi bermakna biskut yang aku makan tadi..." getusnya.
Ya.. .biskut yang dimakannya tadi adalah kepunyaan perempuan tua itu. Alangkah malunya dia atas segala tindakannya terhadap perempuan tua itu. Perempuan tua itu telah sanggup berkongsi biskut dengannya sehingga biskut yang terakhir biarpun dari awal lagi wanita itu telah menunjukkan reaksi marahnya.
Untuk meminta maaf sudah terlambat namun hatinya penuh kekesalan kerana bersifat kedekut dan tidak mahu berkongsi dengan orang lain. Kini dia menyedari bahawa dialah pencuri biskut yang sebenar.
Post a Comment