Air mata seorang naqib
Kita sama-sama masih teringat ketika kita mula-mula bertemu. Tidak ada
yang lebih berbahagia di dalam hati ini selain melihat wajah-wajah
ceria pelajar-pelajar baru yang begitu bersih dapat menjejakkan kaki
ke sebuah pusat pengajian Islam. Memang ayah bonda menginginkan suatu
yang terbaik buat mu. Mahukan engkau menjadi orang yang terpelajar dan
berguna kepada mereka, kepada agama dan kepada negara. Ketika hari
pendaftaran, kami sama-sama menjengah diri melihat muka-muka kalian.
Kalian adalah ibarat rahmat kepada kami kerana dari kaliannya kami
mendapat ketenangan dan kesejukan hati. Bagaimana..? akan kami
ceritakan segala-galanya nanti!
Kemudiannya kalian di heret ke sana kemari dengan minggu pengenalan.
Kalian didedahkan dengan apa yang ada ditempat belajar yang baru ini.
Moga kalian dapat berta'aruf dengan cepat di alam baru ini. kalian
bersolat jamaah dan berma'thurat sama-sama. Kalian di dudukkan di
dalam LDK dan kalian akhirnya menjejakkan kaki ke malam terakhir
pengenalan. Kami masih mengintai-ngintai kalian. Bukan wajah dan gaya…
tetapi watak dan budi. Manakah di antara kalian yang akan bersama
kami? Manakah di kalangan kalian yang akan mewarisi jejak kami?
Memang kami mengentahui dan menyedari.. kalian datang dengan keinginan
yang berbeza. Ada yang ingin mendapat segulung sijil yang nantinya
akan dipersembahkan kepada ibu dan ayah. Ada yang tertolak kerana ayah
dan ibu menghendaki demikian. Kami faham itu semua… dan itu semua
tidak langsung penting bagi kami. Kalian didudukkan di dalam
usrah-usrah akhirnya. Kita sama-sama saling mengenal, mendengar dan
memberi. Bercerita dan membaca. Berbincang dan bermesra. Bukankah itu
satu titik permulaan yang indah dalam pengalaman hidup kita?
Kita kemudian bertemu lagi dalam tamrin dan dauroh. Duduk dan
mendengar.. makan dalam dulang bertemu kepala. Kemudiannya tidur
diatas lantai tanpa hamparan. Kesemuanya menjadi detik manis dan
kenangan yang mungkin sukar dilupakan. Dari situlah kesemuanya
bermula… Kami memerhati dan
cuba mengenal. Siapakah dari kalangan kalian yang sudi untuk bersama
lebih memahami apa yang sedang kami fikirkan?
Kami hanya ingin mengongsi beban yang sedang kami cuba pikulkan selama
ini. Kami faham ianya begitu berat dan tidak mampu ditanggung oleh
hanya dua tiga kerat manusia yang lemah seperti kami. bebannya berat
dan perjalanannya panjang. Hasilnya belum tentu diperolehi di masa
terdekat.
Kami berfikir dan berfikir … bagaimanakah cara terbaik untuk mengenali
siapa dari kalian yang berminat. Kami adakan usrah… kami adakah tamrin
dan kami adakan dauroh.. kami adakan mukhayyam… dan entah apa lagi.
Semuanya adalah kerana cuba mengenali kalian.. disamping untuk memberi
sedikit sebanyak kesedaran dan ilmu.
Akhirnya … Kami telah dikurniakan Allah dengan kalian. Kalian
menampilkan diri dengan semangat dan kesediaan untuk bersama. Kami
begitu gembira. Kami tidak meminta kalian berbuat demikian. Sedikitpun
tidak ingin memaksa. Kami hanya membuka jalan dan peluang setelah
memberi kesedaran sedikit sebanyak. Alhamdulillah atas segala nikmat
dan rahmatNya kepada kita.
Bermulalah satu episod baru dalam hidup kita. Mungkin kita masih ingat
kita mula menjejakkan kaki ke alam baru.. fikrah baru dan ikatan baru.
Kalian telah berjaya memujuk hati kalian untuk bersama dalam
gerombolan ini. Gerombolan yang ingin untuk melihat dunia berubah ke
arah Islam.
Kita mula tangkas melayari perjalanan yang sengit ini. Kita cuba
menumpaskan nafsu yang kadangkala mengganggu dengan cerita indahnya
hidup relaks dan seronok. Tapi kalian telah berjaya menolak itu semua.
Walaupun kawan dan teman lain telah lama dibuai mimpi, kalian
kadangkala masih termangu di hadapan kami.. menadah buku dan sedikit
risalah. Segalanya hanya untuk memahami Islam yang masih banyak yang
perlu dipelajari. Kadangkala teman seronok dihadapan cerita TV dan
VCD, tetapi kita menolaknya itu semua.. kerana masa amat berharga bagi
kita untuk dibazirkan pada itu semua.
Kadangkala kawan-kawan enak tidur ditilam empuk asrama, tetapi kita
terpaksa berjaga malam di
mukhayyam hanya semata-mata untuk melatih diri bagaimana indahnya
dapat berkorban untuk sahabat yang sedang tidur di lantai bumi. Betapa
banyaknya pengalaman yang kalian telah lalui bersama kami !
Kami cuba memberi apa yang kami terdaya. Segala-galanya adalah untuk
menjadikan kalian orang
yang bermanfaat untuk Islam. Kami merasa kasihan kepada Islam yang
masih menagih cinta dan pengorbanan dari penganutnya. Islam masih
terumbang ambing dicampak dan diheret oleh manusia liar. Islam yang
sepatutnya tinggi masih digilis-gilis dan dipijak ganas untuk manusia
zalim. Siapa yang ingin membelanya? Siapa yang akan meletakkannya ke
tempat paling tinggi yang sepatutnya.
Inilah yang kami cuba lakukan. Alhamdulillah, kalian mula sedikit demi
sedikit memahami apa yang kami ingin kongsikan. Walaupun kami
kadangkala tidak dapat berehat sebagaimana orang lain… tetapi
ketenangan mula menjenguk.. ketika melihat kalian mula faham dan mula
melangkah. Denyut nadi perjuangan kalian yang mula bergerak-gerak
sudah cukup menggembirakan kami… lebih gembira dari sang musafir yang
terjumpa kembali untanya yang hilang di padang pasir !
Tentu kalian masih ingat itu semua. Kalian bagi kami adalah lebih
mahal dari dunia dan isinya. Kalianlah
sumber pahala kami di zaman ketandusan pahala dan bermaharajanya dosa
dan maksiat. Bukankah `Allah memberi petunjuk seorang manusia dengan
hasil usahamu adalah lebih baik dari dunia dan isinya'?. Kerana itu
kalian semua lebih mahal bagi kami dari segala harta. Mungkin dari
situlah kalian dapat faham, bagaimana susahnya kami kerana menjaga
kalian. Betapa banyaknya harta yang kami curahkan kerana kalian.
Betapa kami terpaksa melupakan masa rehat dan hujung minggu untuk
kalian. Betapa kami sudah tidak mempunyai apa-apa lagi yang dapat kami
berikan kepada kalian semua… semuanya telah diberikan. Mungkin
sekarang kalian telah dapat fahami. Kerana kalian lebih berharga dari
dunia dan isinya !
Sukar kami menceritakan ini semua… terpaksa dan semoga ianya menjadi
pedoman untuk kalian juga. Bahawa hidup seorang yang tahu di mana
Islam berada sekarang tidak memungkinkannya sempat membina istana dan
mahligai. Tidak memungkinkannya bergembira di setiap hujung minggu
dengan anak isteri. Tidak mungkin berpeluang untuk menikmati hari-hari
perlancongan dan santai tanpa matlamat dakwah. Tidak mungkin berenak
dengan kenderaan besar dan mewah. Bagaimana ia boleh berbuat demikian
sedangkan Islam masih menunggu pendokong yang akan menyelamatkannya?
Kerana memahami itu semua, kami wakafkan diri kami untuk kalian.
Biarlah manusia lain dengan dunianya.. namum kita tenang dan gembira
dalam alam kita sendiri. Walaupun orang lain melihat kita dalam
kesukaran dan kesusahan hidup, namum itulah kebahagian kita ! Matlamat
kami.. melahirkan kader-kader yang akan bekerja untuk Islam. Keinginan
kami.. apabila kalian telah melangkah keluar dari sini.. kalian telah
menjadi manusia muslim baru yang membawa bersama-sama obor yang akan
menyuluh tempat-tempat yang masih gelap di pelusuk sana. Itulah sahaja
matlamat dan cita-cita
kami.
Kami tidak mampu memberi kalian kerja yang bergaji mahal. Kami tidak
sanggup menjanjikan jawatan selepas kalian keluar. Itu semua adalah
suatu yang kerdil bagi kami. Ianya mampu dicari oleh sesiapa walau
bagaimana keadaannya sekalipun. Yang lebih penting dari itu semua
ialah kami tidak mahu kalian tenggelam di dalam kancah dunia yang
sedang bergelumang dengan materialisma yang tidak mampu diharungi oleh
manusia biasa. Kerana itulah kami cuba bekalkan kepada kalian dengan
kekuatan dan kefahaman. Lebih dari itu, kami mahukan kalian menjadi
manusia yang akan membawa manusia lain untuk bersama-sama dalam
perjuangan kita yang masih panjang.
Kami cuba sedaya upaya untuk mengajak kalian memahami bahawa apa yang
kita buat ini bukan kerana tempat belajar kita. Bukan kerana wajib
atau ingin menjaga hubungan dengan guru. Bukan kerana markah atau
prestasi. Kami cuba memotong tali-tali yang mengikat kalian dengan itu
semua. Kami membawa kalian ke luar sana… berjumpa dengan mereka yang
telah mendahului kita di atas jalan ini. Melangkah ke luar negara..
berjumpa dan mengambil pengalaman mereka. Mereka semua adalah se jalan
dengan kita.. berjuang menegakkan fikrah yang sama!
Perit letih kami tidak sia-sia. Kalian mula melangkah ke
garisan-garisan akhir bersama kami dengan sabar dan tekun. Kalian
langsung tidak menunjukkan rasa jemu dan bosan. Walaupun telah ada
dikalangan kalian yang telah kecundang setelah beberapa lama, namum
kalian masih tabah teguh. Kalian mula faham bahawa kerja kita perlukan
disiplin yang tinggi. Kerja kita perlukan jamaah dan ketaatan. Kerja
kita perlukan syura dan perbincangan dengan naqib/naqibah yang telah
begitu lama memimpin tangan kita sejak kita masih bertatih-tatih di
permulaan perjalanan. Kerja kita memerlukan kita tidak putus dan
bersama dengan jamaah di mana saja kita berada.
Di saat berpisah, itulah harapan kami. Gembiranya hati kami melepaskan
kalian menuju ke destinasi
masing-masing. Betapa inginnya hati kami untuk mendengar deringan
telefon dari kalian.. menceritakan
pengalaman baru kalian di kampung dan kawasanmasing- masing. . setelah
mendapat title baru bergelar
" DA'IE ". Betapa tak sabarnya kami ingin menatap tulisan dari kalian
.. bercerita bagaimana kalian telah mula mengumpul mad'u-mad'u baru
ditempat kalian. Betapa gembiranya kami nantinya mendengar kalian mula
ke sana-kemari mengikuti program bersama ikhwah dan akhawat di tempat
baru kalian. Kami tidak dapat bayangkan bagaimana gembiranya hati kami
bila mendengar naqib/naqibah baru kalian begitu memuji kesungguhan dan
semangat yang kalian tunjukkan. Ketika itulah kami akan mengurut dada
gembira… airmata kami berlinangan kegembiraan. . betapa tanaman kami
telah
menghasilkan buah. Usaha kami selama 3 tahun kalian bersama tidak
sia-sia !
Hari berganti hari.. kami di sini terus dengan kesibukkan melayan
adik-adik kalian yang terus tiba
semester demi semester dan cuba untuk menjadi pelapis kepada kalian.
Mereka bersemangat untuk meneruskan apa yang telah dilakukan oleh
kalian. Mereka masih ingat ketika kalian bersama-sama mereka di usrah,
tamrin, dauroh dan mukhayyam. Mereka masih ingat.. kalianlah yang
mendidik mereka dan mengasuh mereka sedikit sebanyak. Kami terus
membantu mereka sekadar kemampuan kami ini.. agar mereka menjadi
seperti kakak-kakak dan abang yang telah tamat belajar.
Hari terus berganti… kami masih menunggu sepucuk warkah atau sedering
telefon… atau sepatah salam dari musafir yang pulang. Namum bayangan
masih kelam. Hari berganti minggu dan minggu berganti bulan. Hati kami
mula bimbang. Apakah yang telah terjadi kepada anak-anak kami yang
telah pergi?
Kami mula bertanya kepada musafir yang lalu… atau kepada ikhwah dan
akhawat yang berjiran.. dimana
anak-anak kami.. pernah terdengar ke si anu dan si anu? Jawapan
negatif membimbangkan kami tentunya.
Kini beberapa bulan berlalu sepi tanpa berita. Bagi kami.. cukuplah
tempoh yang bernama bulan untuk
menghancurkan sedikit semangat dan pegangan kita. Hati kita sentiasa
di intai syaitan. Tidak ada manusia yang boleh mendakwa dia akan kuat
tanpa jamaah. Tidak akan ada kambing yang tidak keseorangan yang tidak
di makan serigala bila keseorangan. . kerana memang serigala ada di
mana-mana. Paling kurang kita akan mula hilang ketajaman sensitif
terhadap matlamat kita. Kita sudah
boleh mulai lupa tujuan dan halatuju hidup dan perjuangan kita. Suatu
yang begitu membara di dalam
hati kita ketika kita bersama dulu mula pudar dan tinggal dingin.
Satu demi satu berita kami terima mengenai hal kalian… jika ketika
berpisah kami menjangkakan kami akan menitiskan airmata kegembiraan
mendengar ketangkasan dan keaktifan kalian… tetapi … titisan
sebaliknya mula mengalir..
Apa yang telah terjadi kepada kalian? Apa yang telah kalian lakukan?
Kami mula sebak… ketika huruf-huruf ini disusun, kami tidak dapat
menahan air mata lagi. Bersama baris-baris yang keluar… kami iringi
dengan cucuran yang tidak dapat ditahan..!
Ianya bukan satu buatan. Ianya bukan rekaan satu cerita dan cerpen. Ia
adalah satu kenyataan yang telah berlaku beberapa ketika lalu dan… air
mata ini masih panas. Ianya adalah perasaan sayu kami bila harapan
telah mulai berkecai. Satu demi satu harapan bangunan yang kami bina
dan kami atur batu bata negara Islam dan khalifah yang kami inginkan
berantapan jatuh di hadapan kami. Kalau dahulu kami harapkan kalian
akan menjadi tangan-tangan yang akan bersama-sama mengangkat batu batu
yang lebih berat dan menjadi pembina bangunan ini… kini segalanya hampa.
Tanpa kami sedari, ada di kalangan kalian yang mungkin terasa amat
gembira terlepas dari alam kita. Ada yang merasakan dunia dakwah suatu
yang menghimpitnya. . suatu yang mengurungnya. Barulah kami sedari
rupanya selama ini, itu semua adalah sebuah lakonan. Ada antara kalian
rupanya sudah tidak ingin lagi bertemu muka dengan kami. Rupanya dulu
kami adalah penyibuk yang mengganggu hidupnya. Sekarang dia telah bebas.
Kami mula kecewa… kami mula berfikir.. apakah dosa kami. Kami hanya
menghulurkan tangan untuk memimpin kalian mengenal sedikit
tanggungjawab kita semua.. tanggungjawab dakwah dan amal Islam. Kami
gembira kerana sebelum kalian keluar.. kalian telah memahami itu
semua.. tetapi sekarang kenapa ini semua tiba-tiba berlaku?
Kalian datang ke sini… tetapi muka kamilah orang yang paling tidak
ingin di lihat dan ditemui. Apakah kalian telah mencampakkan kasih
sayang yang telah kami berikan selama ini. Apakah muka kami begitu
buruk untuk dilihat? Apakah suara kami begitu menyakitkan untuk
disapa?. Jika kalian datang dari jauh kerana sesuatu subjek dan untuk
mengutip markah bagi sekeping sijil, apakah pelajaran-pelajaran yang
sama-sama kita pelajari di usrah dan dauroh sudah tidak bernilai dan
tidak berharga? Atau apakah kalian telah melayakkan diri untuk
dipanggil anak derhaka?
Kalian segera berlepas pulang. Kami hanya mendengar si anu telah
datang. Tanpa sepatah salam kami terima, mungkin ia terlalu mahal
untuk dikirim. Tiada helaian kertas ditinggalkan. . mungkin dakwat
pena terlalu berharga untuk dicoretkan.. Kami hanya mendengar dengan
hiba dan air mata mengalir lagi.
Masa berlalu… dan kami mula berfikir sendirian. Mereka terlalu sibuk.
Mereka ada urusan sendiri. Mereka sedang masuk ke alam kerja. Walau
ada di kalangan mereka kami bantu untuk meneruskan kehidupan mereka…
mencarikan mereka kerja dan tempat pengalaman. Namum setelah berjaya
.. sepatah perkataan pun tidak didengari. Mungkin terlalu sibuk dengan
pekerjaan. Alhamdulillah. Kami sekali lagi menjadi hampas yang
dicampakkan ke tong sampah!
Kami tidak inginkan pembalasan. Kami tidak pahala dari kalian.
Cukuplah Allah sebaik-baik pembalas. Apa yang ada di sisi Allah adalah
lebih baik dan kekal. Kami akan tetap begini hingga ke akhir hayat..
selagi Allah masih memberikan kekuatan. Kerja kami ialah mengumpul
tenaga-tenaga orang seperti kalian, memberi sedikit sebanyak ilmu dan
kefahaman, mendidik apa yang terdaya agar ada tenaga baru untuk Islam.
Kami tidak inginkan harta kalian, tidak perlu kepada pujian dan
sanjungan kalian. Tidak berhajat ingatan
dari kalian, tetapi kami hanya mahu mendengar kalian telah menyambung
dan menjadikan kerja Islam sebagai sebesar-besar tugas. Kami hanya
mahukan dari kalian menghidupkan jiwa-jiwa manusia yang telah mati.
Itulah tanda kesetiaan kalian terhadap kami. Sebenarnya itu adalah
janji kalian kepada Allah bila kalian berjanji untuk bersama kami.
Allahlah yang akan menuntut janjiNya dari kalian.
Ketika kami mendengar ada di antara kalian mula terlupa atau melupai
tugas ini, maka kamilah orang yang mula-mula menangis. Kalian tentu
faham bahawa tanda awal ialah bila kalian tidak lagi bersambung dengan
jamaah. Bila ada antara kalian yang merasakan kalian mampu hidup
sendiri, kalian sebenarnya kalian telah silap. Hidup sehari tanpa
jamaah dan tanpa kerja Islam bermakna kalian telah meranapkan harapan
kerja besar kita. Dan tanda awal putusnya kalian dengan jamaah ialah
bila kalian sudah tidak mempunyai naqib dan usrah. Tanda awalnya
apabila kalian telah mula membelakangkan naqib/naqibah dalam membuat
keputusan dalam hidup kalian. Apakah kalian merelakan diri kalian
untuk menjadi peranap kepada cita-cita Islam kita.? Apakah kalian
tidak takut kepada balasan Allah
bagi mereka yang meninggalkan tugas ini?
Biarlah kami berhempas pulas di sini.. berhujan berpanas dan berembun.
Mengorbankan masa rehat dan wang ringgit kami demi melahirkan orang
seperti kalian. Biarlah kami terus begini… walaupun kami tahu mereka
semua juga mungkin akan menjadi seperti kalian. Biarlah kami terus
berusaha .. melahirkan anak-anak yang akan menderhakai dakwah dan
tanggungjawab Islam! Ingatlah.. kerja ini bukan hanya dengan
angan-angan dan azam semata. Cukuplah kalian layak dipanggil anak
derhaka bila dakwah dan amal Islam hanya menjadi angan dan azam.
Betapa ramainya orang yang mampu berangan
dan berazam seperti kalian ! Tapi dimana usaha dan curahan tenaga?
Siapa yang akan ke medan, menarik tangan-tangan manusia yang sedang
hanyut jika semua hanya berangan dan berazam untuk menarik? Alangkah
mudah berangan dan berazam!
Bebanan perasaan yang kami pikul sebenarnya lebih berat dari bebanan
tugas ke sana ke mari mengendali program dan mendidik kalian. Apa
sangat berat berjaga malam, membelanjakan ringgit dan berceramah dan
mendengar masalah kalian jika hati kami gembira melihat hasilnya. Apa
sangat itu semua jika hati bahagia melihat kalian menjadi orang yang
akan mewarisi kerja yang telah kami buat. Kesemua berat dan beban
hilang dan tak mungkin terasa setelah melihat kalian telah menerangkan
bumi yang gelap seluruh pelusuk bumi.
TETAPI… sekarang kami telah kehilangan segala-galanya. Ketenangan yang
kami ingin cari melalui pengorbanan ini telah juga hancur. Bahkan
ianya lebih berat dari bebanan fizikal dan material. Kami telah
melalui beberapa generasi kalian. Pengalaman akhirnya menyimpulkan
kepada kami bahawa kami hanyalah manusia tak berguna dan pengganggu
dalam hidup kalian. Ketenangan hati yang kami ingin hirup dari usaha
mentarbiyyah kalian hanya menambah luka yang telah ada… Apakah kalian
sedar?
Kami iringi kalian dengan doa dan airmata. Pergilah kalian dengan
sijil yang telah diperolehi dari sini
untuk menjenguk dunia yang tiada bertepi. Harungilah hidup demi
mencari ketenangan dan kebahagiaan melalui jalan yang kalian pilih
sendiri. Kami tetap memilih ketenangan dan kebahagian melalui jalan
kami sendiri. Walaupun kalian telah melukai hati kami… kami hanya akan
menyalahkan diri kami sendiri. Mungkin kamilah yang menyebabkan kalian
jadi begitu. Mungkin kami belum memberikan yang terbaik untuk kalian.
Mungkin kami belum mengorbankan apa yang sepatutnya kami
korbankan. Mungkin.. kami lah yang bersalah.!
Kini segalanya hanya tinggal kenangan. Kami tidak mengharapkan kepada
kalian lagi. Jika kalian mahu terus hidup sebagaimana manusia lain…
teruskanlah. Bahkan jika kalian mahu menjadi manusia yang jauh
berlainan dari kami… teruskan. Moga Allah mengampunkan kami dan
kalian. TAPI ingat ! Dakwah tidak memerlukan kalian untuk hidup.
Dakwah adalah satu yang kuat dan kukuh kerana ia berhubung dengan
Allah Yang Maha Perkasa. Kitalah yang memerlukan dakwah. Dakwah boleh
bersama orang lain jika kita enggan. Tatapi apa ertinya hidup kita
tanpa dakwah? Dakwah adalah nyawa dan roh kita. Jika kita berpisah
darinya…. Kita sebenarnya telah mati ! Kita akan terkulai layu ibarat
bunga yang telah dipetik dari pokoknya ! Tinggalkanlah kami menangisi
anak-anak yang telah pergi. Anak-anak yang telah mencampakkan kasih
sayang yang cuba kami hulurkan. Mungkin cinta kami tidak seindah dunia
yang menunggu diluar sana. Biarlah cinta itu dikutip oleh manusia lain
yang tahu menilainya.
Apakah kalian tidak mengerti ini semua… apakah cinta kami tidak
bermakna untuk kalian. Adakah ianya terlalu murah. Kami berkorban
untuk kalian lebih dari anak dan saudara kami sendiri, kerana bagi
kami tali akidah dan fikrah lebih kukuh dan erat dari tali
kekeluargaan. Kalian lebih kami sayangi dari saudara sedarah daging
dengan kami. Kami berikan apa yang terbaik apa yang kami ada. Kerana
kami tahu.. kalian adalah penerus generasi da'I yang hampir pupus.
Apakah kalian tidak merasainya?
Memang kami tidak memberikan makanan yang mahal-mahal untuk kalian.
Kami tidak membelikan pakaian indah untuk kalian. Tetapi apa erti
makanan dan pakaian jika kalian hanyut di alam sesat jahiliyyah.. ?
hayatilah kata-kata Imam al-Syafie: "manusia sebenarnya ialah yang
merasai kecintaan yang diberikan kepadanya walaupun sebentar". Berapa
lamakah kecintaan yang telah kami berikan kepada kalian… apakah kalian
tidak merasainya?
kalian melihat kami tersenyum… ye.. senyuman yang kami buat-buat untuk
mengubat rindu kepada kedamaian semalam yang telah tiada lagi.
Senyuman untuk menandakan kami masih mampu berlakun dengan hati yang
telah disiat-siat. Berilah senyuman kepada kami, hulurkan tangan
kalian untuk kami salami…. Tetapi hati ini tidak mungkin terubat tanpa
penghayatan dan penunaian janji yang telah sama-sama kita buat semasa
kita di sini!
Cukuplah… kami hanya akan bersama dengan yang memahami dan merasai
cinta kami. Bagi mereka yang mempunyai kekasih lain… pergilah.. semoga
kekasihnya akan memberi kebahagian dan ketenangan untuknya. Bagi kami…
di jalan dakwahlah kasih awal dan akhir kami.
Jika kami sendiri futur akibat apa yang telah kalian lakukan, maka
bersedia kalian untuk menerima sahamnya. Kalian telah mengecewakan
kami sedikit sebanyak. Kalian telah menyebabkan kami tidak percaya
lagi kepada manusia… hingga sampai satu ketika.. kami merasakan sudah
tidak wujud lagi harapan di dunia ini. apa tidaknya.. keseluruhan
anak-anak kami tidak dapat meneruskan usaha kami? Jika itu yang
berlaku kepada yang awal… maka bukankah sama pada yang akhirnya?
Tolong … jangan jadikan kami futur.. berilah harapan. Moga adik-adik
kita di sini dan di luar sana dapat
menghirup sedikit dari limpahan cahaya Ilahi yang kita sama-sama tidak
ingin padam.
Wassalamu'alaikum.
CATATAN SEORANG NAQIB YANG HINA.
Post a Comment